Sunday, August 3, 2008

KATA-KATA ALUAN PENGERUSI

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera.

Warga Gerbang Meru Indah yang dihormati,

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, Persatuan Penduduk yang kita sama-sama perjuangkan masih relevan dan berada di landasan yang diharapkan iaitu fokus kepada keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian.

Sempena dengan Program Jamuan Mesra pada hari ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada warga GMI yang telah memberikan kerjasama dan menunjukkan semangat kejiranan yang tinggi. Ini terbukti melalui aktiviti kutipan yuran bulanan yang dijalankan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Alhamdulillah berkat kerjasama dan kesungguhan AJK dan penduduk GMI
serta segala usaha yang kita lakukan tanpa jemu dan tidak mengenal erti putus asa telah mula membuahkan hasil.

Adalah menjadi impian setiap warga GMI untuk memastikan kes-kes jenayah di kawasan kita ini dapat dikurangkan dan kalau boleh dibenteras sama sekali. Persatuan menyedari bahawa selain aspek keselamatan yang menjadi prioriti terdapat juga aspek lain yang perlu diberi perhatian.

Sehubungan itu, pelbagai aktiviti dirancang dan juga ada yang telah dilaksanakan.
Saya amat berharap, komitmen serta kerjasama semua penduduk untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang dilaksanakan demi kebaikan semua. Kita juga menyedari kita perlu bergerak kearah kecemerlangan dalam melonjakkan nama GMI Fasa C ke satu tahap yang membanggakan. Usaha ini memerlukan penglibatan yang menyeluruh dan bersepadu daripada seluruh warga GMI Fasa C.

Akhir kata dari saya, “genggam bara api biarlah sampai menjadi abu” dan “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Perjalanan kita masih jauh untuk tahun 2008 ini, masih banyak cabaran onak duri yang perlu kita tempuh. Marilah kita bersatu hati, bekerjasama, tolong menolong serta berdoa agar perjuangan kita ini diberkati dan beroleh kejayaan.

Sekian, salam hormat dan terima kasih.

AZMI MOHD YUSOF
Pengerusi,
Persatuan Penduduk Gerbang Meru Indah Fasa C.

No comments: